Hiasan seni khat

HIASAN SENI KHAT

Islam memandang tinggi keindahan seni, lebih-lebih lagi seni khat yang berkait rapat dengan Kalamullah dan sabda Rasulullah S.A.W. sehingga Allah S.W.T bersumpah di dalam al-Quran dengan pena dan tulisan.

“Nun, demi Qalam dan apa yang mereka tulis”.
(Surah al-Qalam:1)

Allah S.W.T dengan segala sifat kesempurnaan-Nya amat menyukai keindahan.
Sabda Rasulullah S.A.W :

“Sesungguhnya Allah Maha Indah dan suka kepada keindahan”.
(Riwayat Bukhari)

Seni Khat merupakan bidang kesenian Islam yang kudus dan penting dalam perkembangan hadharah (tamadun) Islam. Dengannya, usaha memelihara al-Quran yang dilakukan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat dapat dilaksanakan.
Peranannya yang begitu penting, telah menjadikan gerakan dakwah Islamiyah dan penyebaran ilmu Islam dapat dilakukan. Firman Allah S.W.T:

“Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, yang mengajar dengan pena (dengan perantaraan Qalam). Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(al-‘Alaq:3-5)

Mempelajari tulisan juga penting kerana ia adalah satu cara untuk mencatat Kalamullah dan hadits, bagi memastikan keberkekalan dan penyebarannya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Catatlah ilmu dengan tulisan”.

Ini memberi suatu gambaran jelas akan peri pentingnya seni khat yang tidak hanya dilihat daripada aspek kesenian dan peranannya sahaja malah juga daripada aspek kerohanian, sebagai suatu uslub (pendekatan) untuk membentuk jiwa ke arah jalan taqarrub kepada Allah S.W.T.

Ayat-ayat al-Quran, doa-doa daripada hadits, kata-kata ulama yang di cerna dan dijelmakan melalui seni khat, menjadi suatu inspirasi dan motivasi bagi kita dalam menegakkan amalan-amalan yang bersumberkan kepada al-Quran, yang dituntun oleh Rasulullah S.A.W juga para ulamak. Tidak hanya dipandang dan menjadi hiasan semata-mata, tetapi juga sebagai tatapan yang bisa menyentuh hati, seterusnya menjadi suatu tazkirah (reminder) untuk kita yang natijahnya membawa kepada membesarkan Allah S.W.T serta merasa kemanisan beribadah.

Bak kata pepatah

“DARIPADA MATA TURUN KE HATI”

Begitulah apa yang diharapkan daripada usaha yang sedikit ini, agar sama-sama kita merenung dan menginsafi diri betapa kurangnya ‘ubudiyah kita kepada Allah S.W.T.

Semoga dapat kita sama-sama mengambil menfaat kearah kehidupan yang berseni dengan adanya seni dalam penghidupan.

Wallahu A’lam.

Wabillahi Hidayah Wat-Taufiq.

“EKSPERASI SENI KHAT, MANIPESTASI SENI ISLAM”